SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SIMPANG

 

Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang dibuka pada 3 Januari 1983, di mana pengetua pertama sekolah ini ialah Encik Ibrahim bin Jusoh (Jan 1983 – Feb 1983). Terdapat 7 kelas tingkatan peralihan yang menumpang di SMK Sri Kota, Taiping dan dua kelas tingkatan 1 di SMK Dr. Burhanuddin, Taiping. Kelas-kelas ini menumpang kerana bangunan sekolah belum siap sepenuhnya. Jumlah pelajar pada waktu itu sebanyak 321 orang dan seramai 13 orang guru yang ditugaskan ketika itu. Kebanyakan pelajar berasal dari Mukim Jebong kawasan Simpang, Sungai Limau.

 

SMK Simpang mempunyai kawasan seluas 14 ekar dan pada peringkat awal sekolah ini hanyalah mempunyai 2 unit bangunan 3 tingkat, 1 unit bangunan bengkel seni perusahaan, 1 unit bangunan kantin, 16 unit bilik darjah, 2 unit makmal sains, 2 unit bilik sains rumahtangga, 1 unit pejabat pentadbiran, 1 unit bilik guru dan 1 unit gelanggang bola jaring. Satu blok Bangunan Kilat dengan 4 buah bilik darjah dibina pada tahun 1985 ekoran pertambahan pelajar dan pelajar-pelajar ini telah menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Seramai 106 yang menduduki peperiksaan dan 57 pelajar yang layak ke tingkatan 4. Pengetua pada masa itu ialah Encik Idris bin Mohd Bakir (Feb 1983 – Jun 1986).

 

Pada tahun 1989 di bawah pentadbiran Tuan Haji Abdul Aziz bin Mat Dawi (Nov 1986 – Mei 1991), dua unit bangunan 3 tingkat (blok C) didirikan bagi menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat. Bangunan tersebut mengandungi 17 buah bilik darjah dan 3 makmal sains. Pelajar-pelajar tingkatan 5 mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1991. Keputusan yang dicapai ialah 48%.

 

Pada tahun 1992, wujud satu aliran sains untuk tingkatan 4. Keputusan SPM pada tahun itu ialah 49.24% dan pengetua pada ketika itu ialah Cik Hajira Bee binti Abd. Rahman (Mei 1991 – April 1992).

 

Semasa pentadbiran Tuan Haji Yusuf bin Haji Saidin (Jun 1992 – Okt 1992) pada tahun 1992, pihak sekolah telah memulakan pancaragam sekolah bagi tujuan memupuk bakat seni muzik di kalangan pelajar.

 

Bilangan pelajar mencapai jumlah 2100 orang dari tahun 1992 hingga 1995, manakala keputusan SPM 1993 ialah 45.2% dan tahun 1994 pula ialah 43.1%. Tuan pengetua ketika itu iaitu Tuan Haji Abdul Rahman bin Bakar (Nov 1992 – Jun 1995) bersara di sekolah ini.

 

Di bawah pentadbiran Tuan Haji Abdul Jalil bin Mohd. Yusuf selaku pengetua berikutnya, tempat letak kereta telah diubahsuai dan ditempat berhampiran kantin untuk mengelakkan kesesakan dalam kawasan sekolah. Keputusan SPM tahun 1995 telah mencatatkan sejarah buat kali pertama iaitu dengan pencapaian 63.5%.

 

Tidak lama kemudian, pihak sekolah di mana pengetua pada ketika itu ialah Encik Said @ Ibrahim bin Ahmad (April 1996 – Feb 1997), telah mengambil inisiatif membina tempat letak motosikal yang baru bagi memberi keselesaan kepada pelajar-pelajar. Keputusan tahun 1996 menurun iaitu hanya mencapai 54.3%.

 

Pada tahun 1997 di bawah pentadbiran Encik Rosli bin Pin (Mac 1997 – Ogos 1998), sekolah mengalami perkembangan yang pesat. Sebuah bilik komputer telah diwujudkan dan dirasmikan oleh Tuan Haji Khairuddin bin Arshad (PPD). Sebuah pondok rehat dan Balai Lintang dibina. Bilik kebal didirikan oleh JKR, diikuti dengan aktiviti bacaan yaasin dan sambutan Maal Hijrah di surau di SMK Simpang yang baru dibina. Satu laluan berbumbung juga dibina. Keputusan SPM mencapai 61.3%.

 

Pelbagai kecemerlangan dicapai iaitu Anugerah Sekolah Harapan Daerah Larut Matang dan Selama. Peningkatan membanggakan dalam pencapaian akademik PMR dan SPM serta peningkatan pelajar pangkat 1. Dari segi kejayaan kokurikulum, SMK Simpang berjaya menjadi Naib Johan pertandingan ping pong daerah LMS, johan Olahragawati kumpulan C (MSSD), dan Naib Johan Pertandingan Puisi Sains LMS. Dalam bidang sahsiah pula, penurunan kes disiplin sebanyak 30.1%, peningkatan pelajar dalam sukan dan pertandingan antara kelas dan tingkatan. Keceriaan sekolah juga meningkat dengan pembinaan rumah hidroponik, mengecat mural, tanaman bunga, pertandingan papan kenyataan, pembinaan bilik computer yang lengkap dengan 30 buah komputer.

 

Pada tahun 1998, tuan pengetua ketika itu iaitu Sallehuddin bin Kamaruddin (Sept 1998 – Nov 1998) bersara di sekolah ini dan hanya berkhidmat selama 3 bulan sahaja.

 

Di bawah pentadbiran Tuan Haji Othman bin Mahmud PPT, AMP sejak Novamber 1998 sehingga kini, SMK Simpang mengalami pelbagai perubahan. Laluan kedua dibina untuk mengelakkan kesesakan. Bilik kebal mula beroperasi. Sistem roll call dilaksanakan untuk mengelakkan masalah ponteng. Perubahan juga banyak berlaku dalam tahun 2000 dengan memperkenalkan baju-T dan pemakaian tali leher dan replika akar kayu bakau sebagai lambang sekolah. Begitu juga pelancaran kelas Tingkatan 6 dengan pengambilan sebanyak 2 kelas Aliran Kemanusiaan dan 1 kelas Aliran Sains. Pada tahun 2001, pentas perhimpunan baru yang lebih besar dibina dan permainan ragbi mula diperkenalkan. Pelajar-pelajar Tingkatan 6 mula menduduki peperiksaan STPM. Keputusan yang dicapai ialah 96.72%. Pada tahun 2002, makmal-makmal komputer mula beroperasi.

 

Mulai pada 16hb Ogos 2005 iaitu selepas persaraan Tuan Haji Othman bin Mahmud, PPT, AMP , SMK Simpang berada di bawah pentadbiran pengetua baru iaitu Puan Hajah Roh Hani binti Abdul Latif. Semua warga SMK Simpang beryakinan bahawa beliau akan membawa perubahan yang lebih berkesan kepada sekolah kami.

 

AKAR BAKAU SEBAGAI IKON SEKOLAH

1. UTUH DAN TEGUH

Barisan pemimpin dan tenaga kerja boleh bertukar ganti, tetapi organisasi sekolah tetap dipertahankan walau siapa pun menerajui dan memacunya.

 

2. UNIK DAN UNGGUL

Ketelusan dan kejujuran adalah penting untuk membawa sekolah ini ke mercu kegemilangan.

Aspirasi sekolah yang tersurat melalui visi, misi dan agenda sekolah adalah telus dan sentiasa dikongsi bersama oleh setiap warganya.

 

3. MESRA ALAM

SMK Simpang bersikap dinamik, pragmatic dan proaktif, berubah menurut keperluan semasa, sambil tabah menghadapi cabaran yang mendatang untuk memastikan ia terus mantap dan tidak terkeluar dari arus perdana negara.

 

4. TIADA AKAR TUNJANG

Semua warga SMK Simpang termasuk masyarakat dan agensi setempat sama-sama penting untuk berjulang organisasi sekolah ke puncak kegemilangan dan menjadi yang terbilang antara yang cemerlang.

Kejayaan atau kegagalan sekolah ini adalah tanggungjawab semua, bukan terpikul di bahu seseorang atau sebahagian warganya.

MENU UTAMA